

MAJLIS PENAULIAHAN DAN KENAIKAN PANGKAT BAGI PEGAWAI KADET BERSTATUS PROFESSIONALLY QUALIFIED OFFICER (PQO)
TANAH JAMBU, Jumaat, 05 Julai 2024 – Atas Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, 22362 Pegawai Kadet Dr Filzah Nadiah binti Dato Paduka Haji Mohd Hamid, Pegawai Kadet berstatus Professionally Qualified Officer (PQO) Pengambilan ke-23 telah ditauliahkan dan dinaikkan pangkat ke Kapten Tetap.
Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) selaku Tetamu Kehormat Majlis telah menyempurnakan penauliahan dan kenaikan pangkat di Dewan Istiadat, Akademi Pertahanan ABDB. Turut hadir ialah Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersama, Pegawai-pegawai Kanan ABDB dan ahli keluarga pegawai yang dinaikkan pangkat.
22362 Pegawai Kadet Dr Filzah Nadiah binti Dato Paduka Haji Mohd Hamid merupakan seorang penerima Biasiswa Pemerintah Tertinggi ABDB pada tahun 2016 dan merupakan seorang graduan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Cardiff University, United Kingdom. Sebelum ditauliahkan, beliau telah mengikuti Latihan Asas Ketenteraan Pegawai Kadet selama enam bulan di Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan ABDB.